Tuesday, March 15, 2011

Palestine : Visi Baru Perjuangan


Berakhirnya Perang Dunia Kedua memperlihatkan juga nasib rakyat Arab Palestin sebagai pelarian di bumi sendiri, dan sejak sekian lama harapan untuk menyaksikan nasib mereka terbela semakin meruntun hati dan mencatat nota kecewa. Apakah ini nasib pancang tentang kekecewaan atau kegagalan masyarakat Arab dan dunia Islam dalam memperjuangkan nasib mereka.

Tentunya, dalam isu Palestin ini, kita tidak perlu berbicara tentang keadilan kerana ia sudah lama lesap, tetapi sebagai orang yang prihatin dan peduli, apakah yang boleh dan mampu kita sumbangkan.

Rasanya, sekadar berdemo setiap kali ada isu berkaitan Palestin dan kekejaman Israel, ia tidak memadai kerana sejak sekian lama, luahan asa marah dan benci terhadap bangsa Yahudi dan rejim Tel Aviv tidak pernah meninggalkan kesan atau perubahan positif. Ini bukan persepsi pesimis, tetapi dalam pelbagai usaha yang dilakukan terutamanya politik dan diplomatik, kita perlu memikirkan hemat dan cara baru dalam berdepan dengan keangkuhan dan kekejaman tegar bangsa Yahudi menindas rakyat Palestin dan mempermainkan masyarakat dunia.

Begitu juga, kita tidak boleh bergantung harap kepada Washington yang lebih merupakan kerbau dicucuk hidup wilayah bangsa Yahudi dan PBB seperti tidak mempunyai sebagai makna kewujudan dalam isu Palestin.

Sewajibnya, kita kembali kepada diri kita, sebagai umat Islam dan atas nama kemanusiaan sejagat untuk memikirkan dan menyalurkannya dalam bentuk tindakan, langkah atau cara untuk berdepan dengan kemelut ini agar rakyat Arab Palestin mendapat haknya - hak mendirikan negara sendiri yang merdeka, bebas dan bermaruah - juga memaksa bangsa Yahudi menerima hakikat bahawa tanah yang mereka duduki bukan hak mutlak mereka.

Demikian juga sekatan tidak adil ke atas wilayah Palestin - Gaza dan Tebing Barat - sewajarnya ditamatkan serta-merta dan tanpa syarat, serta menidakkan semua alasan rejim Tel Aviv yang kononnya melindungi kesilapannya. Ini juga merupakan salah satu isu penting dalam perjuangan Palestin selain mendapat tanah dengan status merdeka.

Namun sebagai warga prihatin, apakah input, idea, cadangan dan gagasan yang boleh kita salurkan demi Palestin, selain daripada bantuan material berupa bantuan perubatan, makanan atau pembinaan untuk warga Palestin khususnya di Tebing Barat. Mereka sudah lama dihina, ditindas dan menderita dan menanti pembelaan dan keadilan yang tidak pernah wujud dalam realiti.

No comments:

Post a Comment

Followers