Tuesday, March 15, 2011

Melahirkan Guru Cemerlang


Saban tahun sempena Hari Guru, pasti akan diadakan majlis menyampaikan anugerah kepada guru-guru yang diangkat sebagai cemerlang, pastinya, pengiktirafan itu dibuat berdasarkan penilaian kepada pencapaian di dalam kelas dan luar kelas.

Hakikat ini menunjukkan betapa profesion perguruan yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan perubahan, amat penting apatah lagi apabila menghubungkaitkannya dengan usaha dan tugas membentuk dan melahir generasi yang diasuh dan terdidik.

Namun tantangan dan keperluan semasa memerlukan guru dan profesion ini sentiasa berubah sesuai dengan keperluan dan tuntutan zaman. Tuntutan ibu bapa terhadap pencapaian dan pendidikan anak mereka misalnya, tidak sama seperti guru ketika zaman penjajah atau semasa awal kemerdekaan. Ketika itu, guru digeruni dan dihormati dengan kuasanya terhadap murid dan pelajar boleh dianggap tinggi termasuk merotan.

Tentunya, keadaan itu tidak sama dengan hari ini, apabila kelebihan dan keistimewaan guru itu sudah tidak relevan dengan masa, maka cabaran dan beban tugas guru juga berubah, lantas untuk memenuhi cabaran dan beban itu, guru dan profesion pendidik juga seharusnya melalui fasa perubahan mengikut keperluan semasa.

Pastinya juga, pihak kerajaan, jabatan, ibu bapa, murid dan pelajar juga masyarakat sentiasa mengharap, para pendidik dapat menyumbang sesuatu demi kecemerlangan generasi yang dilahirkan oleh sistem pendidikan dan kerjaya guru ini. Dalam keadaan seperti ini, pastinya, cabaran dan beban yang menjadi tekanan juga amat besar untuk dipikul, tetapi apakah guru mampu melakukannya.

Maka, mungkinkah suatu hari nanti tidak ada stigma kerjaya perguruan ini menjadi pilihan terakhir selepas tidak ada "kerjaya lain" yang diberjaya dicapai, lalu mereka memilih untuk menjadi guru. Atau, dengan hambatan pelabagi kerenah dan masalah di sekolah, guru kita sekadar menjadi orang makan gaji, yakni bekerja untuk mendapat wang gaji, tanpa roh dan jiwanya.

Apa-apa kerjaya yang dilakukan tanpa roh dan jiwa tidak akan menjadi suatu yang melahirkan kecemerlangan, sama ada pada guru, dan pastinya murid dan pelajar. Hakikatnya, kerjaya guru memang memerlukan kecemerlangan bukan sekadar di kalangan seorang dua guru sehingga melahirkan seorang tokoh, tetapi demi kejayaan seluruh generasi, maka seluruh warga pendidik perlu menjadi guru cemerlang.

No comments:

Post a Comment

Followers