Tuesday, March 15, 2011

Masa Depan Generasi Muda FELDA


Selepas generasi pertama mengecapi segala kepayahan dalam meneroka tanah dan mengubah kehidupan mereka, kini tiba masanya kepada generasi kedua, ketiga dan juga keempat yang bakal mengubah arah tuju kehidupan mereka dan juga rancangan pembangunan tanah kerajaan ini. Felda merupakan nama besar dalam pembangunan negara, malah menjadi contoh kepada negara lain bagaimana pembangunan luar bandar ditransformasikan secara besar-besaran dan ekonomi skala besar.

Namun, perubahan masa memperlihatkan perubahan berlaku dalam Felda dan juga orientasi perniagaan pertaniannya, dan demikian juga generasi kedua dan seterusnya. Persoalan yang sering dibangkitkan adalah sejauhmanakah mereka mampu membawa legasi Felda dalam mendepani perubahan sosio-ekonomi dan demografi.

Perkara paling mudah untuk diperhatikan, tidak mungkin semua anak yakni generasi kedua dan ketiga atau keempat dapat mewarisi tanah yang diusahakan oleh generasi pertama, dan dengan andaian jika mereka terus kekal di Felda, apakah yang mereka mampu sumbangkan, atau apakah yang boleh mereka lakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apakah mereka akan menjadi buruh ladang yang tidak bertanah? Jika ini berlaku, bermakna nasib mereka boleh dianggap lebih terus berbanding generasi pertama. Malah, dewasa ini kita boleh saksikan bagaimana ladang-ladang Felda ini dilimpahi oleh kemasukan buruh asing teruatama Bangladesh dan Indonesia.

Lantaran itu, sesuatu perlu dilakukan dan juga difikirkan bersama bukan sahaja warga Felda sendiri, malah pihak berwajib dalam membentuk arah tuju generasi baru Felda. Mungkinkah nasib mereka perlu dibuka sama seperti anak-anak kampung tradisi lain yang perlu berhijrah keluar untuk membaiki hidup atau memulakan kehidupan baru tanpa tongkat khusus pihak berkuasa. Ketika pencapaian dan meritokrasi sering diperkatakan, mungkin anak-anak generasi baruy Felda ini perlu mengubah paradigma dalam kehidupan mereka untuk lebih berdikari dan mengupayakan kendiri untuk mencipta kejayaan sama seperti anak-anak lain yang tidak lahir dalam Felda.

Bagi mengikuti perbincangan topik ini, sila menonton rancangan U-Wartawan, 17 Disember di Saluran 501, Astro Awani pada pukul 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Followers