Tuesday, March 15, 2011

Khurafat dalam Filem Seram !


Sejak beberapa tahun ini, terdapat kecenderungan di kalangan pembikin filem dan drama tv menghasilkan genre seram sama ada dalam bentuk seram atau komedi, tentunya atas nama hiburan. Hakikatnya juga, unsur seram sama ada mistik, ghaib, hantu, roh atau jin bukanlah fenomena baru, sebaliknya sudah lama wujud dalam sinematografi negara. Lebih daripada itu, genre seperti ini juga turut ada dalam sastera lisan yang jauh lebih lama.

Melihat kepada aspek seram, tahyul, mistik, hantu dan jin sebenarnya melihat kepada konteks kepercayaan masyarakat yang mempercayai dan terpengaruh dengan kewujudan seperti ini, dan mendasar segala kepercayaan tanpa peduli kebenaran atau kesahihan, malah terlibat secara langsung dalam amalannya.

Namun dalam konteks sinematografi, yakni drama televisyen dan cereka filem, unsur seram menjadi permainan kreatif sinematografi yang bertujuan mengusik deria menonton khalayak kepada suatu tahap ia mencetuskan rasa takut dan seram. Tetapi, apakah seram itu membawa makna kepada filem selain daripada tujuan hiburan - seperti yang dinyatakan oleh para pembikin.

Keadaan menjadi lebih gawat apabila seram, mistik, ghaib dan dunia gelap ini dikaitkan pula dengan khurafat, yakni perbuatan dan perlakuan dalam filem yang menggugat atau kerosakkan terus kehidupan beragama seseorang, dan tentunya, kita tidak mahu melihat natijah buruk akibat hanya dengan menonton cereka dalam filem dan televisyen.

Lalu, ada teguran dan pandangan yang mengatakan, paparan seram tanpa ilmu yang cukup mengenai segala yang bersifat mistik, ghaib, alam roh dan jin merupakan perbuatan yang membawa kepada syirik dan kejahilan mengenainya menjerumuskan kepada kepada pemesongan dan merosakkan akidah.

Ada pandangan yang mahukan, perkara seperti ini ditangani secara agama, yakni perlunya nasihat oleh orang faham dan tahu secara ilmu dan mahukan, adanya garis panduan sebagaimana halal, dan dalam konteks ini dinamakan pematuhan Syariah. Hakikatnya, kita perlu beranjak, yakni, bersikap lebih proaktif dalam merangka kerja berhubung aspek khurafat ini, agar kita tidak membiarkan sesuatu berlaku sewenang-wenangnya, dalam keadaan terlepas pandang atau cuai dan lalai.
Saksikan perbincangan di U-Wartawan pada pukul 10 mlm 7 Januari 2011 bersama tamu di studio.

No comments:

Post a Comment

Followers