Tuesday, March 15, 2011

Keperluan Nuklear Negara...


Ketika kerajaan membayangkan untuk memiliki loji nuklear sendiri, ternyata mencetuskan pelbagai reaksi, sama ada menyokong dan menentang. Namun, penelitian mendapati, lebih ramai yang menentang dan dengan alasan yang sememangnya sudah dijangkakan - iaitu soal keselamatan, dan isu ini dikaitkan dengan insiden Chernobyl, bekas Kesatuan Soviet.
Hakikatnya, ia merupakan insiden malang dan menjadi trauma panjang kepada manusia sejagat, malah Malaysia sendiri. Melihat kepada insiden tersebut, tentunya, banyak pengajaran yang diperoleh jika kita di Malaysia mahu mempunyai loji sendiri. Ya, sememangnya, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi sama sekali dan setiap negara yang membabitkan diri dalam penghasilan tenaga nuklear melakukan prosedur keselamatan paling tinggi dengan kesilapan dan kecuaian sifar.
Apakah Malaysia memerlukan nuklear untuk keperluan tenaga pada masa akan datang? Apabila kita mengambil kira simpanan minyak dan sumber tenaga lain seperti hidro elektrik, maka alternatif paling dekat dan berkemampuan menampung permintaan yang tinggi pastinya tenaga nuklear.
Namun, sikap awal memperlihatkan ramai yang tidak senang dengan penggunaan tenaga nuklear, terutamanya mendirikan loji kerana kebimbangan malapetaka, misalnya jika berlaku kebocoran. Tetapi apakah ketakutan ini perlu menguasai diri kita selama-lamanya sehingga kita terus jumud dan ketakutan? Jawapan kepada ketakutan itu tentunya memerlukan kita mengusahakan alternatif lain, tetapi apakah yang terbaik, cekap dan tidak meninggalkan kesan kepada alam sekitar.
Bagi sebilangan orang, kenapa tenaga tidak sahaja dijanakan melalui air (membina sempangan) atau tenaga solar dan mungkin angin. Ia nampak mudah dan mesra alam tetapi berapakah keupayaan dan berapa besarkan alam sekitar diperlukan untuk menghasilkan tenaga untuk menampung keperluan.
Kita mungkin terlalu bimbang ancaman radiasi dengan gambaran yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki, juga Chernobyl, tetapi kita tidak pernah berasa terlalu takut dengan kerosakan alam yang dijana oleh bahan bakar fosil.
Sama ada mahu atau tidak suka, kita tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada memilih tenaga nuklear, atau paling tidak pun kita perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu berkaitan penghasilan tenaga nuklear yang antara lainnya melibatkan proses pengayaan uranium. Pastinya, aspek penting dalam perkara ini adalah menguasai teknologi dan kita tidak boleh ketinggalan dalam hal ini.
Persoalan keselamatan pula kita boleh belajar daripada kelemahan era komunis Soviet dan yang jelas semuanya berlaku akibat kelemahan manusia selain daripada aspek kewangan, sedang banyak negara lain membangunkan teknologi nuklear mereka sehingga ke tahap pemprosesan uranium tahap tinggi tanpa mengabaikan serta memberi jaminan tanpa tolaransi bahawa tidak akan kecelakaan yang berulang.
Pada akhirnya, kita akan menentukan sendiri keperluan kita dalam penggunaan tenaga nuklear, membuat pilihan yang terbaik sama ada memilih untuk memajukan teknologi nuklear atau bersikap, tidak perlu selagi isu keselamaan menjadi hambatan.

No comments:

Post a Comment

Followers