Tuesday, March 15, 2011

Fenomena Buang Zuriat !


Mungkinkah masalah dan persoalan ini merupakan suatu warisan sepanjang zaman? Mengapa tidak kerana masalah buang bayi sudah bertahun-tahun diperkatakan dan jika dikira secara matematik, bilangannya semakin meningkat sehingga dikatakan mencetuskan kegusaran.

Apakah ini merupakan satu penyakit zaman moden yang kini menunjukkan tanda kronik atau ini satu lagi persoalan takdir, atau kita mengatakan, masalah buang anak ini berlaku disebabkan pelaku lebih menurutkan kata hati dan gelora nafsu, bukan akal dan jauh sekali nilai moral dan hukum agama.

Perkara yang turut mencetuskan lagi rasa gundah adalah pembuangan bayi yang dulu jarang sekali membabitkan kematian, kini memperlihatkan kecenderungan begitu banyak anak-anak yang baru lahir ini tidak bernyawa. Lalu apakah hukuman setimpal untuk golongan ini - mungkinkah penjara seumur hidup atau hukum gantung sampai mati kerana melakukan pembunuhan dan menyebabkan pematian? Lantas bagaimana pula pasangannya yang mungkin sudah lama menghilangkan diri untuk tidak mahu bertanggungjawab.

Juga, apakah kita mengatakan si pelaku itu kejam apabila dia menjadi mangsa serangan seksual, misalnya dirogol hingga mengandung, dan perogolnya pula masih bebas atau sekadar meringkuk dalam penjara, sedang mangsa rogol ini berdepan dengan aib.

Ini merupakan dua fenomena jelas yang dipisahkan oleh garis noral berbeza tetapi ia menjadi menjadi garis bawah besar kepada masalah pembuangan anak. Apakah masyarakat boleh lakukan atau sekadar menjatuh hukum dengan mengatakan, betapa rosaknya akhlak sebahagian anggota masyarakat ini.

Atau, apakah kita mahu berkata begini, berani buat berani tanggung.

Dalam konteks masyarakat pelbagai adat, budaya dan yang paling pentingnya agama, krisis pembuangan anak ini menjadi lembaran yang berlapis-lapis dengan standard sendiri bahawa dalam suatu kelompok, melahirkan anak luar nikah bukan merupakan suatu kesalahan moral dan agama yang begitu berat dan status anak ini lahir tidak pernah dipersoalkan.

Bagaimana pula dalam konteks masyarakat Islam, bagaimana kita mahu melihat situasi ini tidak dalam pengertian dan pemahaman dosa semata-mata, bahawa yang salah tetap salah dan menerima hukumnya, sama ada hari ini atau kemudian, sedangkan, apakah anak yang baru lahir itu perlu menjadi korban.

Tentunya, melihat kepada perkembangan hari ini dan menilai sejarah pembuangan anak ini, sesuatu perlu dilakukan, tidak cukup sekadar pendidikan agama dan keteguhan iman kerana sesetengah kes memperlihatkan teori dominonya dengan kesan hujungnya adalah membuang anak.

Lantas, adakah anda mempunyai kepercayaan atau tafsiran lain terhadap persoalan ini?

No comments:

Post a Comment

Followers