Tuesday, March 15, 2011

Belia dan Cabaran Semasa


Belia secara takrifnya berumur antara 17 hingga 40 tahun. Satu julat umur yang besar yang mengumpulkan satu kelompok yang sangat signifikan dalam sesebuah masyarakat. Apabila kita memerhatikan masayarakat kita pada hari ini, maka sebahagian besar permasalahan dalam masyarakat bahkan negara kita hari ini adalah masalah yang melibatkan golongan belia.


Mari kita senaraikan beberapa contoh masalah yang selalu kita dengar. Masalah gejala sosial, seks bebas luar nikah, rempit dengan pelbagai aksinya, masalah budaya lepak, kes-kes jenayah seperti rogol dan jenayah-jenayah seksual yang lain kebanyakannya melibatkan golongan ini. Gejala hiburan berlebihan, tidak serius, membazirkan masa, juga melibatkan golongan belia. Masalah kekurangan kualiti tenaga kerja, pengangguran, kegagalan memenuhi pasaran pekerjaan dan kegagalan dalam akademik juga melibatkan golongan belia. Malah bagi saya, permasalahan kurang cemerlangnya pencapaian negara dalam bidang sukan juga adalah isu belia.


Menjadi salah seorang belia hari ini, kita tertanya-tanya, kenapa segala ini berlaku kepada generasi belia hari ini dan di manakah punca silapnya. Bukan untuk menunding jari mencari salah silap sesiapa, tetapi untuk cuba mencari penyelesaiaannya bersama. Mengenalpasti punca masalah adalah sebahagian daripada usaha ke arah menyelesaikan sesuatu masalah itu. Kenapa negara kita dan masyarakat kita gagal melahirkan generasi belia yang benar-benar berkualiti?

Lalu apakah agenda yang akan menjadi penggerak (motive for action) generasi belia hari ini. Mereka lahir merdeka, kebanyakannya hidup senang dan tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan? Bagaimana untuk menanamkan daya juang kalau sememangnya tiada lagi istilah perjuangan dalam hidup mereka? Bagaimana mengajar belia supaya sanggup bersusah kalau semua perkara mereka perolehi tanpa perlu bersusah payah? Lalu dalam situasi ini ke manakah dihalakan tenaga yang banyak yang ada pada belia? Ke manakah dicurahkan segala kemampuan untuk belajar sesuatu yang baru yang ada pada belia? Ke manakah diletak semangat yang tinggi yang ada pada belia?



Semua pihak (masyarakat, agensi kerajaan, agensi swasta dan badan-badan bukan kerajan) berperanan membimbing dan mengasuh belia menjadi mahir dan berjasa kepada negara dan bangsa. Belia yang berkemahiran pasti memberikan jasa kepada negara dan bangsa tanpa mengira tahap pendidikan mereka.

No comments:

Post a Comment

Followers